Ilmu adalah satu-satunya pelaburan yang tidak pernah merugikan. Ia adalah satu investasi yang paling berharga seseorang boleh lakukan dalam hidup mereka. Ketika seseorang mempelajari sesuatu, mereka membuka pintu kepada pengetahuan, pemahaman, dan kebijaksanaan. Islam menekankan kepentingan memperoleh ilmu sebagai satu kewajipan bagi setiap individu Muslim, dengan menyebutnya sebagai perjalanan yang tidak pernah berakhir.
Pelaburan dalam ilmu memberikan pulangan yang berlipat ganda dalam pelbagai cara. Pertama, ilmu memberi seseorang pengetahuan yang diperlukan untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan. Dengan ilmu, seseorang dapat membuat keputusan yang lebih baik dan mengatasi pelbagai cabaran dengan lebih efektif.
Terdapat hadith Nabi Muhammad SAW yang memberi penekanan terhadap kelebihan ilmu.Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga [Riwayat Muslim (4867)]
Pelaburan dalam mendapatkan ilmu juga mempunyai kesan jangka panjang yang amat positif. Tambahan pula jika Ilmu yang diperoleh itu disebarkan atau diajarkan kepada orang lain. Hal ini kerana Ilmu tidak akan hilang ditelan zaman jika ilmu tersebut terus disebarkan melalui penulisan atau percakapan. Malahan, ia akan terus memberi manfaat kepada individu dan masyarakat dalam jangka masa yang panjang. Perkara ini bertepatan dalam satu hadith yang menyatakan berkenaan kelebihan ilmu yang bermanfaat dijadikan sebagai bekalan di akhirat kelak. Dari Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Jika seorang manusia meninggal, terputuslah amalnya, kecuali dari tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang berdoa untuknya”
Secara kesimpulannya, melabur dalam mendapatkan ilmu adalah satu tindakan yang sangat dianjurkan dalam Islam. Melabur yang dimaksudkan tidak terhad kepada wang ringgit semata, akan tetapi sanggupkah kita meluangkan sedikit masa dan tenaga demi mendapatkan Ilmu kerana tanpa Ilmu, tidak mungkin akan wujud manusia yang bertamadun. Ia bukan sahaja memberi keuntungan di dunia, malah memberi ganjaran yang besar di akhirat. Jangan merasakan rugi atau membuang masa dalam mengutamakan ilmu. Oleh itu, sebagai umat Islam, kita harus sentiasa memperjuangkan ilmu pengetahuan dan menghargainya sebagai satu anugerah yang diberikan oleh Allah SWT.