Permainan Mesin Claw, Adakah Satu Perjudian?

Permainan mesin claw atau mesin cakar kini semakin popular dalam kalangan masyarakat, terutamanya di pusat membeli-belah, kafe, dan pusat hiburan. Mesin ini berfungsi dengan cara menggunakan pengendali untuk menggerakkan lengan (claw) yang dioperasikan dengan wang untuk meraih barangan seperti mainan, boneka, atau hadiah-hadiah kecil yang terletak di dalam mesin sebagai ganjaran. Walaupun kelihatan seperti permainan yang menyeronokkan, masih ramai yang ragu-ragu mengenai status hukum permainan ini dalam Islam—adakah ia dikira sebagai judi? Apakah sudut pandang Syariah mengenai isu ini?

Pertama sekali perlu dijelaskan bahawa sebarang bentuk permainan yang melibatkan taruhan, di mana pihak yang kalah mengalami kerugian sementara pihak yang menang memperoleh keuntungan, dilarang dalam Islam kerana ia tergolong dalam kategori perjudian. Menurut Kamus Dewan, judi diertikan sebagai permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan (seperti main ceki, main dadu, dan sebagainya); (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat). Judi dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-maisir atau al-qimar. Ia bermaksud permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah. Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan. Di dalam al-Mu’jam al-Wasith, judi disebut sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan dari kedua belah pihak. (Lihat al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 7589)

Syariah Islam melarang transaksi jual beli yang menindas sesetengah atau sebelah pihak. Allah SWT melarang keras akan perjudian melalui firman-Nya dalam Surah al-Maidah, ayat 90:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Berdasarkan petikan ayat al-Quran di atas, dapat difahami bahawa judi itu adalah suatu perkara yang dilarang dalam Islam. Sheikh Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa judi adalah haram, dan segala jenis pertaruhan adalah unsur perjudian. Judi juga adalah perbuatan yang mencari keuntungan tanpa bekerja atau berjual beli, dan kerugian yang ditanggung oleh pihak lain yang kalah dalam perjudian tersebut akan mengakibatkan permusuhan dan kebencian. Kebiasaannya para pemain judi akan berbalah sesama sendiri, menghina, mencaci serta memukul antara satu sama lain.

Dalam syarahan Kitab Fiqh Manhaji juga menyatakan bahawa setiap permainan yang berdasarkan nasib dan yang membantutkan akal fikiran seperti permainan dadu, daun terup (ynag mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Memetik kata-kata salah seorang asatizah daripada  klip video aplikasi Madkhal (Modul Syariah), Prof. Madya Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim berkata bahawa arak dan judi itu jelas keharamannya melalui firman Allah dalam surah al-Maidah seperti di atas. Perkara ini dijelaskan oleh beliau dalam topik cabang Fiqh mengenai Fiqh Muamalat. 

Sebagai kesimpulan, hukum permainan mesin claw adalah haram dan dilarang. Ini juga turut disahkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan melalui artikelnya mengenai topik AL-KAFI #1210: HUKUM BERMAIN PERMAINAN MESIN CLAW. Hal ini kerana permainan tersebut secara jelas mengabaikan hak pemain sebagai pembeli iaitu untuk memilih barangan yang diinginkan sesuai dengan harga yang dibayar. Selain itu, permainan ini lebih bergantung kepada faktor kebergantungan kepada nasib semata-mata, yang mana sudah jelas Syariah Islam melarang aktiviti sebegini. 

Nasihat terbaik adalah untuk menjauhi segala bentuk aktiviti yang mengandungi unsur perjudian atau ketidakadilan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai alternatif, umat Islam digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang lebih bermanfaat dan memberi kebaikan kepada diri sendiri dan masyarakat. Jom menggali pelbagai khazanah ilmu Islam yang berautoriti dan sahih melalui aplikasi Madkhal atau melalui laman sesawang https://www.madkhal.app/ sekarang!

Kongsikan Artikel Ini

QURAN
madkhaladmin

Islam sebagai Panduan Hidup

Islam, sebagai agama yang diturunkan oleh Allah SWT, adalah rahmat dan petunjuk yang diberikan kepada seluruh umat manusia. Melalui ajaran-ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW,

Baca Selanjutnya >